INTIPATI EKONOMI BAJET 2018.
Berikut ialah inti pati Bajet 2018 yang
dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertemakan 'Memakmur
Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi, Demi
Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50, di Dewan Rakyat, hari ini.
Jumlah peruntukan bajet sebanyak RM280.25 bilion, meningkat daripada RM260.8
bilion pada 2017, dengan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46
bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Di bawah peruntukan pembangunan, sektor
ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM26.34 bilion, sektor sosial
(RM11.72 bilion), keselamatan (RM5.22 bilion) dan sektor pentadbiran am (RM2.72
bilion). Defisit fiskal dijangka terus mengecil kepada 2.8 peratus pada 2018
daripada 3 peratus pada 2017. Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2018
dijangka meningkat kepada RM239.86 bilion pada 2018 atau daripada RM219.7
bilion pada 2017. Jumlah pelaburan dijangka meningkat sebanyak 6.7 peratus atau
menyumbang 25.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018.
Pelaburan swasta dijangka dijangka meningkat kepada RM260 bilion pada 2018
daripada RM230 bilion pada 2017. Hasil Kerajaan Persekutuan 2018 dijangka
mencecah RM239.86 bilion. Peruntukan sebanyak RM200 juta kepada Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM), menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah RM2.7
bilion yang memanfaatkan hampir 400,000 peminjam.
Peruntukan RM30 juta disediakan kepada
Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan beberapa perkara
termasuk mempromosi Malaysia sebagai Hab Rawatan Kesuburan, termasuk IVF dan
Kardiologi Asia dan memperkenalkan program Flagship Medical Tourism Hospital.
Pembinaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang
ke Pengkalan Kubor, Kelantan bermula Januari 2018. Mempercepatkan pembinaan
MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027.
Pulau Pangkor, Perak diisytiharkan Pulau Bebas Cukai, tetapi tidak termasuk
barang-barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor. Membangunkan
Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam untuk merancakkan ekonomi di
bahagian Utara.
Peruntukan RM1 bilion diperuntukkan kepada
Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan
teksi. RM45 juta peruntukan untuk mewujudkan satu sistem kawalan biometrik bagi
memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres. Menaik taraf Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Pembinaan
baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan
Sandakan.
Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050
(ADAM50) diperkenalkan dengan memberi Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200
melalui unit Amanah Saham PNB kepada anak Malaysia yang lahir mulai 1 Jan 2018
sehingga 2022. Sebanyak RM250 juta diperuntukkan untuk pendidikan generasi
TN50, termasuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dan Matematik
(STEM), mempertingkatkan modul Computer Science termasuk program Coding dan
menaik taraf 2,000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad ke-21.
Peruntukan RM2.2 bilion bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam,
Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan. Membina 14 kompleks sukan baharu di seluruh
negara dengan kos RM112 juta.
Peruntukan RM61.6 bilion disediakan untuk
sektor pendidikan termasuk RM654 juta bagi membina empat pra sekolah, sembilan
pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme, 48 sekolah
rendah, menengah dan kolej vokasional serta sebuah pusat matrikulasi.
Pelanjutan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018.
Peruntukan RM4.9 bilion untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia.
Peruntukan RM6.5 bilion untuk penyediaan infrastruktur asas terutama di luar
bandar. Peruntukan RM1 bilion melalui SKMM bagi membangunkan infrastruktur
komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak.
Peruntukan RM300 juta untuk program NBOS
termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township dan Mobile CTC.
Mengembalikan wang ses yang telah dibayar peneroka getah yang membuat tanaman
semula kelapa sawit, dari 2010 hingga 2016. Peruntukan RM14 bilion untuk
Angkatan Tentera Malaysia, hampir RM9 bilion untuk Polis Diraja Malaysia dan
lebih RM900 juta kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Peruntukan RM3
bilion untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan. Peruntukan RM720
juta bagi pembinaan 11,000 ibu pejabat dan enam balai polis serta pembelian
kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi.
Pembinaan 10,000 unit Perumahan Penjawat
Awam 1Malaysia-PDRM (PPA1M-PDRM) Peruntukan RM250 juta kepada ESSCOM bagi
mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak.
Peruntukan RM2.5 bilion, iaitu yang tertinggi pernah diberikan untuk biasiswa
pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA. PNB membuat pengagihan khas
sejumlah RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat
India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.
Bantuan sebanyak RM3,000 kepada ibu bapa
masyarakat Orang Asli sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki
institusi pengajian tinggi. Kadar cukai pendapatan individu pemastautin
dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara
RM20,000 hingga RM70,000. Peruntukan RM3.9 bilion subsidi barangan dan
pengangkutan termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan
tol. 50 Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai Kedai Rakyat
1Malaysia 2.0 dan diperluaskan kepada 3,000 KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun.
Mulai 1 Januari 2018, kutipan tol di Batu
Tiga Shah Alam dan Sungai Rasau, Selangor, tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan
tol di Eastern Dispersal Link, Johor dimansuhkan. Kerajaan akan mengkaji semula
kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa
hadapan, memberi pilihan kepada majikan mengambil pembantu rumah asing secara
langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen. Peruntukan RM2.2
bilion untuk merancakkan usaha pemilikan rumah untuk rakyat termasuk membina
Projek Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan program PR1MA yang berharga
RM250,000 ke bawah.
Peruntukan RM27 bilion untuk menyediakan
perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Peruntukan geran sepadan RM245 juta di
bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart
Manufacturing. Peruntukan RM5 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau
bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau. Program Non-Revenue Water
untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos RM1.4 bilion.
Peruntukan RM1.7 bilion kepada warga
emas, OKU dan kanak-kanak. Untuk penjawat awam, kenaikan pangkat time-based
kali kedua untuk kumpulan pelaksana bagi tempoh 13 tahun selepas kenaikan kali
pertama. Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan
pulang awal sejam, manakala suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan berbuat
demikian dengan syarat suami dan isteri bekerja di lokasi berdekatan.
Bayaran khas one-off RM1,500 kepada 9,800 ketua
kampung dan Tok Batin dengan RM1,000 dibayar pada Januari 2018 dan selebihnya
sebelum Aidilfitri. Lebih 65,000 imam, bilal, guru KAFA, guru takmir dan tok
siak mendapat bayaran khas RM1,500 dengan RM1,000 dibayar pada Januari 2018 dan
selebihnya menjelang Hari Raya Aidilfitri. Bayaran khas RM1,500 kepada semua
penjawat awam iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 menjelang
Aidilfitri. Pesara kerajaan menerima bayaran khas RM750 iaitu RM500 dibayar
pada Januari 2018 dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment